Putrajaya: Sebarang perkembangan berkaitan Nvidia tidak mengubah kedudukan Malaysia secara ketara untuk terus memperkukuh sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata Malaysia kekal memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi termasuk semikonduktor dan AI bagi mewujudkan nilai tambah dan pulangan lebih baik kepada negara.
Katanya isu berkaitan Nvidia diuruskan pada peringkat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala tumpuan terhadap sektor berkenaan kekal dari sudut perancangan ekonomi negara.
"Setakat ini, isu itu tidak mengubah apa-apa secara ketara terhadap kedudukan kita untuk terus mengangkat sektor semikonduktor dan AI ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.









