KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan susulan kontroversi pantun berunsur sindiran yang diselitkan ketika persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, pelantikannya ke jawatan berkenaan adalah atas sokongan parti yang diwakilinya, iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak pernah meminta saya meletakkan jawatan berikutan insiden berkenaan.
"Saya tidak akan letak jawatan kerana saya diberikan jawatan itu atas sokongan daripada parti saya, parti UMNO dan BN," katanya pada sidang media selepas Majlis Kesiapsiagaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini hari ini.









