Kuala Lumpur: Pembangunan bola sepak negara dijangka memasuki fasa lebih rancak tahun depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang memperluaskan pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) ke seluruh negara.

Perancangan itu menyaksikan FAM bersama Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee akan mula menjelajah dari satu negeri ke satu negeri bagi memperkemaskan program pembangunan akar umbi, sekali gus memastikan usaha melahirkan pemain berkualiti tidak hanya tertumpu di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, setakat ini tumpuan pembangunan lebih terarah kepada AMD, manakala pelaksanaan NFDP di peringkat negeri masih belum digerakkan sepenuhnya selepas aspek teknikal program itu diambil alih badan induk berkenaan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).