London: Sembilan individu yang cuba menyeludup kokain bernilai lebih 8 juta pound sterling (kira-kira RM43.16 juta) dari Caribbean ke United Kingdom (UK) dengan menyamar sebagai pelancong dijatuhi hukuman penjara.

Memetik laporan Sky News, kumpulan yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan itu dijatuhi hukuman di Mahkamah Crown Isleworth pada Isnin lalu selepas didapati bersalah atas cubaan menyeludup kira-kira 67 kilogram kokain.

Polis Metropolitan mula mengesan kegiatan kumpulan itu pada April 2024 susulan rampasan dadah oleh Pasukan Sempadan UK dan Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA).

Siasatan mendapati kumpulan berkenaan menggunakan pakej percutian merangkumi semua perbelanjaan ke Jamaica dan Antigua sebagai sebahagian daripada modus operandi penyeludupan dadah.