PETALING JAYA – Telatah seorang murid perempuan yang menulis sendiri surat makluman tidak hadir ke sekolah kepada gurunya mencuit hati ramai apabila kandungan tersebut turut menyelitkan rancangan percutian keluarganya pada bulan hadapan.
Menerusi perkongsian seorang guru menggunakan akaun Threads @_nisa.khai, wanita itu memuat naik foto sekeping kertas berlipat yang diserahkan oleh anak muridnya dikenali sebagai Sara Hannah.
Pada bahagian hadapan lipatan surat berkenaan, tertera tulisan tangan murid terbabit yang ditujukan kepada Ustazah Khairrunisa dengan tajuk ‘Surat tidak hadir’ selepas beberapa kali dipadam dan dibetulkan.
Berdasarkan isi surat bertarikh 16 November 2026 itu, murid berkenaan memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah bermula hari ini sehingga Jumaat kerana mengikut ibu bapa serta kakaknya ke Cameron Highlands, Pahang.









