SEREMBAN – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan bersetuju untuk mematuhi apa juga keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung pelantikan Menteri Besar baharu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semua pihak juga menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam menentukan proses seterusnya.

Katanya, pelantikan pengganti Menteri Besar adalah tertakluk kepada perkenan Tuanku, manakala cadangan nama calon akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.

“Belum dapat dipastikan lagi berapa calon yang akan diangkat. Saya tunggu apa juga arahan dan perkara yang akan diputuskan pimpinan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan khas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan PN serta pimpinan tertinggi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.