PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) mengemukakan hanya satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, warkah mencadangkan nama calon berkenaan telah diserahkan kepada pihak istana susulan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.Menurutnya, beliau turut menerima surat peletakan jawatan yang sama sebelum mengemukakan cadangan calon pengganti mengikut amalan dan tatacara parti."Setakat ini, saya mengemukakan hanya satu nama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Ideas Putrajaya (FOI) di sini pada Selasa.Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keputusan menerima atau menolak calon berkenaan sepenuhnya terletak kepada budi bicara dan perkenan Yang di-Pertuan Besar.Beliau berkata, sekiranya nama yang dikemukakan itu diperkenankan, hanya Tuanku Muhriz dan pihak istana berhak mengumumkan pelantikan Menteri Besar baharu.Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ismail telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada istana, berkuat kuasa Isnin.Ketika ditanya sama ada UMNO mengarahkan Ismail meletakkan jawatan, Ahmad Zahid menafikan perkara itu sekeras-kerasnya dan menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas kehendak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sendiri."Peletakan jawatan itu dibuat oleh Ismail sendiri. Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin," katanya.Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap perkembangan terbaharu itu dapat membantu menyelesaikan kemelut politik Negeri Sembilan secara baik.Ujarnya, BN mahu urusan pelantikan Menteri Besar baharu diselesaikan terlebih dahulu sebelum membincangkan perkara lain termasuk kedudukan Exco kerajaan negeri."Kita selesaikan urusan Tuanku berkenan memilih Menteri Besar baharu dahulu, baru soal-soal lain," katanya.