Kuala Lumpur: Bimbang peluru melantun dan mencederakan orang awam punca Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, tidak melepaskan tembakan ketika diserang lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong, pada 11 November lalu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, berkata anggota polis itu sebenarnya mempunyai hak mempertahankan diri kerana berdepan ancaman yang boleh mengakibatkan kematian.
"Bagaimanapun, keputusan dia untuk tidak menggunakan senjata api dibuat selepas mengambil kira situasi semasa, khususnya risiko keselamatan orang awam di lokasi kejadian.
"Tembakan yang dilepaskan berisiko melantun, sekali gus menyebabkan serpihan peluru mencederakan individu lain," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, mengadakan lawatan kebajikan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.









