MELAKA: Penjual alat ganti motosikal yang sebelum ini berdepan hukuman gantung sampai mati kerana kes mengedar dadah menarik nafas lega apabila pertuduhan terhadapnya dipinda kepada memiliki dadah.

Liew Kai Cheng, 39, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan itu dan tiga pertuduhan lain memiliki pelbagai jenis dadah.

Hakim Datuk DJP Suria Kumar menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi dikemukakan pembelaan bagi meminda pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada pertuduhan memiliki mengikut Seksyen 12(2) akta sama.