DUBAI – Polis Dubai menambah koleksi kenderaan rondaan mewah pasukan keselamatan di negara Emeriah Arab Bersatu (UAE) itu dengan memperkenalkan superbike BMW M 1000 RR yang mampu mencapai kelajuan maksimum 314 kilometer sejam (km/j), lapor saluran berita Gulf News.
Motosikal berkenaan dilancarkan menerusi kerjasama dengan AGMC pada hari pertama Sidang Kemuncak Polis Dunia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai, baru-baru ini.
Penambahan motosikal berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi Polis Dubai untuk memanfaatkan teknologi automotif terkini, selain memperkukuh kehadiran anggota keselamatan di kawasan tumpuan pelancong dan mercu tanda utama di seluruh negara itu.
Pengarah Jabatan Am Pengangkutan dan Penyelamat, Ali Al Muhairi, berkata kerjasama dengan AGMC itu dijangka meningkatkan kehadiran polis di destinasi pelancongan popular.










