BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang menyiasat insiden tular membabitkan sekumpulan anjing yang dilihat menyerang seekor kucing.
Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya menerima tiga aduan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku di Taman Teluk Molek itu.
"Kami sedang menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi sebenar kejadian bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan," katanya ketika dihubungi.
Insiden itu menarik perhatian umum selepas video berdurasi lima saat tular di media sosial, memaparkan beberapa anjing menyerang seekor kucing berhampiran pagar sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.








