BARCELONA: Bekas pemain tengah Sepanyol, Juan Mata mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada usia 38 tahun, sekali gus menamatkan perjalanan karier yang menyaksikannya menjulang pelbagai trofi utama di peringkat kelab dan antarabangsa.

Mata, yang pernah menyarung jersi Chelsea dan Manchester United, membuat pengumuman itu menerusi media sosial, hari ini selepas meninggalkan kelab Australia, Melbourne Victory pada September lalu.

"Kadangkala, untuk mencintai... kita perlu melepaskan. Terima kasih bola sepak," tulisnya ketika mengumumkan keputusan berkenaan.

Pemain kelahiran Sepanyol itu adalah sebahagian daripada skuad La Roja yang menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebelum membantu negara itu merangkul kejuaraan Euro 2012.