KOTA BHARU: "Saya membuat panggilan sebanyak dua kali. Panggilan pertama tidak berjawab, namun panggilan kedua dijawab orang awam yang memaklumkan bahawa suami terbabit kemalangan dan meminta saya ke lokasi kejadian."
Demikian dikongsikan Khalidah Adilah Zainudin, 31, isteri kepada anggota polis, Koperal Muhamad Alimi Kamarudin, 35, yang maut dalam kemalangan di Pulau Melaka, di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika Muhamad Alimi yang bertugas di Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Marak selepas tamat tugas.
"Suami hubungi kira-kira jam 3 petang untuk memaklumkan bahawa dia akan pulang ke rumah selepas selesai bertugas," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini, hari ini.










