Ipoh: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan khidmat sokongan dan intervensi psikologi sukan kepada jaguh angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, yang kehilangan tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI Prof Madya Dr Jaffry Zakaria berkata pihaknya mengambil inisiatif menggerakkan pasukan pakar psikologi sukan fakulti itu bagi membantu atlet tersebut menghadapi cabaran emosi dan mental susulan kecederaan yang dialami.

Beliau berkata dua pensyarah kanan FSSK yang juga pakar psikologi sukan dan bekas atlet kebangsaan, Prof Madya Dr Nelfianty Mohd Rasyid dan Dr Mon Redee Sut Txi dipilih untuk mengendalikan inisiatif berkenaan.