Maran: Seekor harimau kumbang dewasa berjaya diselamatkan selepas ditemukan dalam keadaan sukar berjalan di ladang kelapa sawit di Sri Jaya, di sini, kelmarin.

Harimau kumbang betina berusia empat tahun itu diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (PERHILITAN) sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemantauan lanjut.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak pengurusan ladang memaklumkan penemuan haiwan itu yang dipercayai tidak mampu berjalan seperti biasa.

Katanya, enam anggota PERHILITAN bersama seorang pegawai veterinar kemudian ke ladang berkenaan bagi memeriksa keadaan haiwan liar itu.