BARCELONA: Real Madrid terus menunjukkan kepercayaan terhadap potensi Arda Guler apabila mengikat pemain sayap Turkiye itu dengan kontrak baharu selama enam tahun sehingga 2032.

Kelab gergasi Sepanyol itu mengumumkan perkembangan berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini sekali gus menyaksikan tempoh perkhidmatan pemain berusia 21 tahun itu dilanjutkan tiga tahun berbanding kontrak terdahulunya yang berakhir pada 2029.

Keputusan itu hadir selepas Guler mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim ini apabila menjadi antara pemain yang kerap mendapat peluang beraksi bersama skuad utama.

Pemain antarabangsa Turkiye itu sudah diturunkan dalam 14 daripada 16 perlawanan Real Madrid setakat ini, selain menyumbang empat gol dan tujuh bantuan jaringan.