Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan warga asing di negara ini bagi mengelak keselamatan rakyat terancam, terutama susulan kes warga asing berani bertindak agresif sehingga mencederakan anggota polis, baru-baru ini.

Penasihat dan Pejuang Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Suara Demi Rakyat, Datuk Seri Raj Manickam berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil langkah lebih tegas dengan memperkukuh kekuatan anggota penguat kuasa, selain meningkatkan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.

Menurutnya, kawasan seperti Selayang, Cheras dan Brickfields antara lokasi yang perlu diberikan perhatian serius menerusi operasi bersepadu serta risikan berterusan.