zhahirah@hmetro.com.my

KETIKA budaya dan warisan Melayu semakin berdepan arus kehidupan moden, pelukis komik MF Mohd Rajif Moksin, 49, atau lebih dikenali sebagai MF Ajif memilih kanvas dan komik sebagai medan untuk menghidupkan semula keindahan identiti bangsa.

Lebih 25 tahun berkarya, lelaki kelahiran Tangkak, Johor itu bukan sekadar menghasilkan lukisan untuk tatapan pembaca, sebaliknya mahu setiap karya yang dihasilkan menjadi wadah memperkenalkan adat, budaya dan warisan Melayu kepada generasi masa kini.

Menariknya, perjuangan itu dibina tanpa pendidikan akademik dalam bidang seni apabila MF Ajif mengasah kemahirannya sendiri sehingga mampu bertahan sebagai pengkarya profesional.

"Saya adalah 'self-taught artist' yang membina skil melukis dengan sendiri tidak melalui proses akademik," katanya.