KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah tinggal bersama remaja itu dan tidak mengetahui secara langsung bagaimana ibu Zara Qairina menjaga serta membesarkan anaknya.

Saksi ke-81, Malianah Mahathir, 25, berkata pengetahuannya mengenai kehidupan Zara Qairina dan keluarganya banyak diperoleh menerusi hantaran di media sosial selain maklumat daripada bapanya.

Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Malianah berkata, beliau pernah melihat gambar keluarga berkenaan menerusi akaun Facebook Zara Qairina, ibu Zara Qairina dan bapanya.

"Saya cuma melihat melalui hantaran Facebook, saya selalu melihat-lihat gambar mereka. Keluarga bahagia kan," katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues hari ini.