PUTRAJAYA: Myanmar sedia menerima penghantaran pulang rakyatnya dalam jumlah besar dengan kos ditanggung sendiri termasuk antara 3,000 hingga 4,000 yang kini berada di depoh Imigresen Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, hingga kini seramai 10,493 warga Myanmar sudah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut.
Myanmar turut menyatakan kesediaan menerima mereka yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada rekod serta peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
"Hingga kini, 10,493 warga dan rakyat Myanmar sudah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut dan terima kasih kepada tentera laut kita atas kerjasama itu.
"Anda menyatakan bahawa mereka yang berada di depoh, antara 3,000 hingga 4,000 orang akan dihantar pulang dan sesiapa yang dapat disahkan berasal dari Myanmar," katanya pada sidang media bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu ke Malaysia di sini, hari ini.










