ALOR SETAR - Kerajaan disaran menjalankan kajian menyeluruh terhadap pembentukan minda jenayah dalam kalangan pesalah muda bagi mengenal pasti pola yang sama dan membantu mencegah tragedi berulang melibatkan pelajar sekolah.Peguam, Mardhiyyah Johari berkata, kajian berkenaan perlu meneliti latar kehidupan pesalah muda sejak kanak-kanak sehingga mereka melakukan jenayah bagi memahami faktor yang membentuk dorongan melakukan keganasan.Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, kejadian jenayah melibatkan pelajar sekolah bukan perkara baharu, namun perkembangan beberapa tragedi kebelakangan ini menimbulkan persoalan sama ada pendekatan sedia ada masih mencukupi untuk menangani jenayah remaja."Persoalannya, sejauh mana perjalanan yang membentuk minda jenayah seorang remaja sehingga mampu mencederakan dan membunuh pelajar lain dikaji."Adakah ada satu pasukan khusus yang mengkaji latar kehidupan setiap pesalah muda ini dari usia kanak-kanak sehingga tarikh mereka melakukan jenayah" katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, minda jenayah dan dorongan kuat untuk melakukan jenayah tidak terbentuk dalam tempoh sehari, justeru penelitian perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pencetus sesuatu kejadian.Katanya, kompilasi kajian dan analisis membabitkan kes buli yang membawa kepada kematian perlu dilakukan bagi mengenal pasti pola yang sama dalam kalangan pesalah muda."Jika kita dapat mengenal pasti pattern yang sama dalam kalangan semua pesalah muda, ia boleh memberikan asas yang lebih jelas untuk mendapatkan solusi yang tepat."Kalau tidak, semua pihak hanya meneka dalam kesamaran dan respons pihak berwajib sekadar mahu menenangkan netizen, sedangkan masalah sebenar belum dirawat," ujarnya.Mardhiyyah berkata, hasil siasatan polis berhubung pencetus sesuatu kes seperti cinta ditolak, junior melanggar arahan atau rakan sebilik dituduh mencuri hanya penting bagi proses keadilan di mahkamah.Namun katanya, faktor tersebut belum memadai untuk dijadikan asas tunggal dalam merangka dasar dan polisi pendidikan baharu bagi mencegah kitaran jenayah sama daripada berulang.Dalam pada itu, beliau mencadangkan kajian berkenaan membabitkan kerjasama kerajaan serta agensi berkaitan dan hasilnya dibentangkan di Parlimen serta jawatankuasa yang melibatkan pemegang taruh berkaitan kanak-kanak dan sektor pendidikan.Menurutnya, pelaksanaan dasar berkenaan tidak seharusnya hanya dipikul Kementerian Pendidikan, sebaliknya memerlukan pendekatan rentas kementerian."Antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.Beliau turut mencadangkan Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak dikaji semula sekiranya perlu bagi disesuaikan dengan dasar dan polisi baharu berkaitan pencegahan jenayah melibatkan golongan muda.Mardhiyyah berkata, isu kanak-kanak dan jenayah dekat dengan perhatian beliau kerana penyelesaian terhadap masalah berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pesalah, malah membabitkan keselamatan generasi akan datang."Kita perlu menyelesaikan isu mereka kerana ia bermaksud menyelamatkan jutaan anak-anak yang lain, memberikan ketenteraman kepada jutaan keluarga dan melindungi generasi beberapa dekad akan datang," katanya.
Kaji minda jenayah pesalah muda, cegah tragedi berulang - Peguam

Key points
- ALOR SETAR - Kerajaan disaran menjalankan kajian menyeluruh terhadap pembentukan minda jenayah dalam kalangan pesalah muda bagi mengenal pasti pola yang sama dan membantu mencegah tragedi berulang melibatkan pelajar sekolah.
- Peguam, Mardhiyyah Johari berkata, kajian berkenaan perlu meneliti latar kehidupan pesalah muda sejak kanak-kanak sehingga mereka melakukan jenayah bagi memahami faktor yang membentuk dorongan melakukan keganasan.
- Katanya, kompilasi kajian dan analisis membabitkan kes buli yang membawa kepada kematian perlu dilakukan bagi mengenal pasti pola yang sama dalam kalangan pesalah muda.
Sentences selected automatically from the original article by Sinar Harian.
Story details
- Published
- By
- WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
2 stories on this topic from 2 sources, oldest first.
- Sinar Harian Kaji minda jenayah pesalah muda, cegah tragedi berulang - Peguam (this story)









