am@hmetro.com.my
Kuantan: Semua institusi pendidikan daerah Rompin di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang diarah tutup sementara mulai esok.
JPN Pahang dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, penutupan itu berdasarkan keadaan semasa jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di Rompin.
"Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
"Semua institusi pendidikan di daerah Rompin hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.






