KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.

Pembentangan ini adalah belanjawan kelima Kerajaan MADANI pimpinan beliau, berpaksikan tekad jelas memastikan pertumbuhan bernilai tinggi diterjemahkan secara saksama demi kesejahteraan rakyat selain memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Pembentangan Belanjawan 2027 akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk Bernama TV yang turut menyiarkan kupasan Analisis Belanjawan 2027 pada 8.30 malam ini.

Menurut kenyataan prabelanjawan menerusi laman web Kementerian Kewangan, Belanjawan 2027 dirangka bagi meneruskan kesinambungan asas kukuh yang dibina menerusi siri belanjawan terdahulu.