Kuala Lumpur: Sebanyak 13 daripada 17 syor penambahbaikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah tanggungjawab institusi berkenaan dilaksanakan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata. baki empat syor masih dalam tindakan membabitkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 serta skop pengawasan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau berkata, secara keseluruhan, RCI mengemukakan 25 syor dengan lapan lagi membabitkan pelaksanaan oleh pihak lain.

Menerusi dapatan siasatan, Zulkifli berkata, RCI mendapati Ketua Audit Negara (KAN) tidak bertegas dalam proses pengauditan dan berpandangan Penyata Kewangan TH bagi 2014 hingga 2017 tidak wajar diberikan Sijil Audit Bersih.