KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini, setengah jam lebih awal dari waktu kebiasaannya iaitu pada 4 petang.
Belanjawan MADANI Kelima yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', adalah belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Belanjawan ini dibentangkan ketika kerajaan berhasrat mengekalkan momentum ekonomi di samping meningkatkan siling pertumbuhan negara, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola.
Dengan ekonomi yang berada di landasan yang kukuh, tumpuan Belanjawan 2027 adalah untuk mengekalkan momentum itu. Ekonomi diunjurkan berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan sepanjang tahun dijangka kekal dalam julat unjuran kerajaan iaitu antara 4.0 hingga 5.0 peratus.









