KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mesti memberi perhatian serius kepada keperluan menambah hakim Mahkamah Syariah yang jumlahnya sangat kritikal.
Keperluan mendesak itu bukan sekadar permohonan mengisi jawatan yang perlu bersaing dengan keperluan agensi lain untuk mendapatkan peruntukan.
Penasihat Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata keperluan menambah hakim tidak wajar dilihat sebagai urusan pentadbiran biasa kerana itu berkait secara langsung dengan hak rakyat untuk mendapat keadilan dalam tempoh munasabah.
Beliau berkata, pendedahan BH baru-baru ini iaitu seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mengendalikan kira-kira 1,000 kes setahun menunjukkan beban tugas yang sangat tinggi, lebih-lebih lagi tugas hakim bukan sekadar mendengar dan memutuskan kes.








