JAKARTA: Kira-kira 28,000 penduduk di wilayah Riau, Indonesia, dilaporkan mengalami jangkitan saluran pernafasan akut sepanjang tempoh kebakaran hutan dan tanah sejak Ogos lalu.

Ketua Jabatan Kesihatan Riau, Zulkifli, berkata ratusan kes baharu turut direkodkan dalam tempoh dua hari kebelakangan ini.

"Pada Selasa, sebanyak 331 kes direkodkan, manakala Rabu mencatatkan 263 kes.

"Secara keseluruhan, dari 19 Ogos hingga semalam (Rabu), terdapat sebanyak 28,000 kes ISPA," katanya pada Khamis, menurut laporan detikSumut yang dipetik CNN Indonesia.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, data yang dikemukakan pihak berkuasa di peringkat daerah dan bandar itu belum melalui proses saringan bagi menentukan sama ada pesakit mendapatkan rawatan berulang kali atau sebaliknya.