PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diperuntukkan sebanyak RM260 juta bagi memantapkan ketersediaan serta pengurusan bencana di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah keprihatinan, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Bantuan Pembaikan Rumah bagi mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000.

“Bagi mempercepat operasi menyelamat di kawasan terjejas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bakal memperoleh sebanyak 17 unit bot amphibiacraft baharu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, ikhtiar Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GDRN) menerusi Yayasan GLIC dan GLC terus komited membantu mangsa bencana menerusi penyediaan geran padanan berjumlah RM20 juta. – UTUSAN