PETALING JAYA – Pembinaan kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah yang diumumkan menerusi Belanjawan Madani 2027 bakal memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penyediaan kemudahan kediaman lebih kondusif penting bagi memastikan kebajikan anggota yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan tahanan imigresen terus terpelihara.

Menurut beliau, kemudahan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan anggota dan keluarga, malah membantu mereka memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan tugas serta tanggungjawab jabatan.

“Kebajikan anggota bukan sekadar soal penyediaan kemudahan, sebaliknya merupakan asas kepada kesiapsiagaan dan keberkesanan sesebuah organisasi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.