SUNGAI GOLOK: Seorang lelaki Malaysia berusia 30-an ditahan di pekan Sungai Golok sebelum sempat menyeludup dadah ke Kelantan menerusi Pos Kawalan Imigresen dan Kastam Sungai Golok.

Suspek ditahan Rabu lalu, kira-kira jam 10.30 malam waktu tempatan ketika berada dalam sebuah kereta berhampiran sebuah hotel di pekan dalam wilayah Thailand itu.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt, berkata lelaki itu ditahan bersama 20 biji pil ecstasy, 760 pil psikotropik dan kira-kira sembilan gram ketamin, dianggarkan bernilai keseluruhan RM15,000.

Beliau berkata, penahanan dibuat hasil operasi bersepadu membabitkan Polis Sungai Golok, Biro Siasatan Wilayah Sempadan Selatan serta pegawai pentadbiran Daerah Sungai Golok.