Kerajaan memperuntukkan RM459.84 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM40 bilion berbanding RM419.2 bilion yang diperuntukkan bagi 2026. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Kerajaan perlu meluaskan asas hasil, meningkatkan ketelusan perbelanjaan dan memperkukuh perkhidmatan penting bagi merealisasikan aspirasi Belanjawan 2027 sebagai kemajuan yang berterusan, menurut sebuah badan pemikir.

Dalam penilaiannya terhadap belanjawan itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata usaha mengurangkan defisit fiskal perlu disertai pembaharuan struktur bagi memperkukuh daya tahan fiskal jangka panjang dan daya saing ekonomi Malaysia.

IDEAS mengalu-alukan sasaran pengurangan defisit kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, tetapi berkata nisbah cukai kepada KDNK yang kekal pada 12.8% serta unjuran penurunan hasil persekutuan kepada 16.4% daripada KDNK menunjukkan kemajuan yang terhad dalam meluaskan asas hasil.