KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah yang kekal tinggi dijangka meningkatkan dividen PETRONAS kepada RM48 bilion pada 2026, sekali gus membantu mengimbangi peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan.

BIMB Securities Research dalam satu nota penyelidikan bagaimanapun berpandangan bahawa peningkatan hasil itu dijangka bersifat sementara berikutan unjuran harga minyak mentah Brent yang dijangka menyederhana dalam tempoh dua tahun akan datang, akan mengehadkan sumbangan dividen PETRONAS kepada kewangan kerajaan.

Menurutnya, berdasarkan andaian harga Brent AS$95 setong bagi 2026, dividen PETRONAS dijangka meningkat berikutan harga minyak yang lebih tinggi, berbanding unjuran AS$65 setong dalam Belanjawan 2026.