KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan kajian bagi membendung aktiviti 'ulat tiket'.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata kajian berkenaan akan dimuktamadkan untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan pada tahun hadapan.
Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada amalan penjualan tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal yang membebankan pengguna dan mendedahkan mereka kepada risiko ditipu.
"Ketika ini, negara masih belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus yang menangani aktiviti 'ulat tiket' secara menyeluruh," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.









