PETALING JAYA: Acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini akan diteruskan mengikut jadual bagi kategori Utama.
Pengarah Projek KLSCM merangkap Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans berkata, bagaimanapun acara Kids Dash terpaksa dibatalkan berikutan situasi jerebu.
Katanya, keputusan membatalkan acara Kids Dash dibuat selepas perbincangan bersama pihak berkaitan demi mengutamakan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.
Menurut beliau, keputusan itu turut mendapat sokongan penganjur bersama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penaja utama, Standard Chartered Malaysia.
“Kami kecewa kerana tidak dapat meneruskan acara Kids Dash, namun kami perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak berbanding membiarkan mereka berlari dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.








