KAPASITI dewan yang sederhana besar menyaksikan Showcase Jiwarasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 dibuka hanya terhad kepada 600 penonton sahaja.

Bagaimanapun, kemeriahan dan sambutan yang diberikan terhadap persembahan artis yang ditampilkan seolah-olah menyaksikan program itu dihadiri oleh 5,000 penonton.

Inilah keistimewaan program berkonsep berhibur sambil beramal hasil cetusan idea penyanyi Nizam Laksamana yang berlangsung di Noah Grand Ballroom, Wisma LJT, Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang kali terakhir diadakan pada 1 Jun 2024 dengan nama Showcase Amal Artis Legenda 4.0 ini dianjurkan kembali dengan masih berpaksikan slogan, Dalam Hiburan Ada Kebaikan.