REFORMASI paling bermakna bukanlah memperluas kuasa pemerintah, tetapi memperkukuh institusi untuk menyemak dan membatasi kuasa berkenaan.

Dalam sejarah pembangunan demokrasi, terdapat perubahan bersifat pentadbiran, tetapi lebih penting adalah membawa makna besar kepada struktur serta falsafah pemerintahan.

Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) pada 1 Oktober lalu, antara perkembangan penting dalam perjalanan reformasi institusi Malaysia.

Setelah lebih tiga dekad, Perkhidmatan Parlimen diwujudkan semula secara berasingan daripada Perkhidmatan Awam Persekutuan. Hakikatnya, reformasi ini menyentuh persoalan bagaimana kuasa negara diagihkan, dilaksanakan dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat. Antara dimensi paling signifikan ialah kesediaan kerajaan memperkukuh institusi yang mempunyai tanggungjawab menyemak tindakan kerajaan sendiri.