PEMBENTANGAN Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan usaha Malaysia mengimbangi dua tuntutan pembangunan yang semakin mencabar, iaitu memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi berasaskan teknologi dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Kedua-dua tuntutan ini perlu bergerak seiring kerana kemajuan ekonomi tanpa kesejahteraan sosial tidak akan menghasilkan pembangunan yang benar-benar bermakna.

Bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', Belanjawan 2027 membawa mesej bahawa cita-cita besar negara perlu berpaksikan realiti kehidupan masyarakat.

Dengan peruntukan keseluruhan RM510 bilion, pendekatan pembangunan yang menyeluruh merangkumi pendidikan, kesihatan, infrastruktur, teknologi dan pembangunan modal insan memperlihatkan usaha membina asas pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif.