Kuala Lumpur: Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai membabitkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM158.16 bilion berjaya diselamatkan sehingga Ogos lalu.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 147 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, membabitkan 29,900 unit rumah dengan GDV sebanyak RM40.92 bilion.

Katanya, sebanyak 1,542 projek'sakit berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), membabitkan 163,621 unit rumah dengan GDV sebanyak RM115.74 bilion.

"Bagi projek berstatus terbengkalai pula, sebanyak 37 projek berjaya dipulihkan, membabitkan 6,122 unit rumah dengan GDV berjumlah RM1.504 bilion, sama ada melalui penyiapan fizikal projek mahupun penyelesaian yang memberi manfaat kepada pembeli rumah," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.