KUALA LUMPUR: Selain kesesakan trafik yang serius, kebimbangan terhadap kemampuan loji kumbahan, bekalan air bersih, risiko banjir dan kekurangan kemudahan kesihatan adalah antara isu dibangkitkan penduduk yang membantah projek pembangunan 17,000 unit apartmen di Bukit Jalil, di sini.
Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil, Saniah Abu Yamin, 66 tahun, berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan infrastruktur sedia ada mampu menampung pertambahan penduduk sekiranya projek berkenaan dilaksanakan.
Beliau berkata, kapasiti loji kumbahan sedia ada juga perlu dinilai bagi memastikan ia mampu memproses sisa kumbahan mengikut piawaian ditetapkan dengan menampung kapasiti penduduk ketika ini dan penambahan penduduk membabitkan projek berkenaan.









