TOKYO: Tasik kawah berwarna hijau zamrud di timur Jepun kembali menjadi tumpuan pelancong kelmarin, selepas kawasan itu dibuka semula kepada orang ramai buat pertama kali dalam tempoh lebih lapan tahun susulan penurunan tahap amaran gunung berapi.

Pekan Kusatsu di Wilayah Gunma menarik balik sekatan kemasukan ke kawasan sekitar Tasik Kawah Yugama di Gunung Kusatusu-Shirane, yang terletak antara Wilayah Gunma dan Nagano.

Pengunjung memenuhi laluan pejalan kaki dan pelantar tinjauan untuk melihat keindahan tasik tersebut, manakala kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di jalan raya berhampiran.

Yoichi Takeshita, 59, yang berkunjung bersama isterinya, berkata dia tertarik untuk melihat tasik itu selepas mendengar berita kawasan berkenaan dibuka semula selepas lapan tahun.