Kuala Lumpur: Pemandu kereta BYD Seal yang tular merempuh sebuah Perodua Bezza di Jalan Kuching, Sabtu lalu hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, tiba di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi berdepan tiga pertuduhan.

Lelaki berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah pada 8.55 pagi dalam keadaan bergari dan dikawal ketat beberapa anggota polis trafik.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan di sebuah hospital swasta di Damansara pada Rabu selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam kejadian pada 3.44 petang Sabtu lalu, kereta yang dipandu lelaki berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.