Batu Pahat: Pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, menjadi tumpuan media dan orang ramai pagi ini bagi mengikuti perkembangan kes pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.

Beberapa ahli keluarga Irene Sofiya dan orang awam dilihat berada di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi bagi mengikuti dengan lebih dekat kes berkenaan.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dijangkakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret itu untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya.

Bagaimanapun, kawalan ketat dibuat dengan petugas media hanya dibenarkan berada di tingkat bawah mahkamah.