CAMERON HIGHLANDS: Pembinaan jalan pintasan baharu untuk mengatasi kesesakan trafik di Kea Farm berisiko mengancam alam sekitar dan keselamatan penduduk.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), A Dilip Martin, berkata cadangan pembinaan jalan pintasan dari Royal Lily ke Villa Dahlia yang kini difahamkan masih dalam peringkat kajian berpotensi membabitkan cerun Gunung Jasar yang sensitif.

Cadangan itu menimbulkan persoalan kerana jajaran berkenaan terletak antara lapan hingga 10 kilometer (km) dari Kea Farm, lokasi utama kesesakan di tanah tinggi itu.

"Jika kesesakan berpunca di Kea Farm, selesaikan masalah di situ. Jangan buka kawasan baharu dengan memotong cerun sensitif Gunung Jasar sehingga berpotensi memindahkan risiko kepada penduduk di bawahnya," katanya.