Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pertukaran penempatan dua pegawai kanannya apabila Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), manakala Jefri Ngadirin mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Sukan berkuat kuasa hari ini.
KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penstrukturan semula itu bertujuan memperkasa dan memperkukuh tadbir urus agensi di bawah kementerian berkenaan.
"KBS yakin penstrukturan penempatan ini dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan pengurusan, pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan sukan negara secara efisyen.
"Kementerian merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan kedua-dua pegawai berkenaan serta berharap mereka dapat meneruskan komitmen dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab baharu demi kemajuan ekosistem sukan negara," kata kenyataan itu.









