Batu Pahat: Pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Irene Sofiya, hanya mengangguk sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika prosiding yang dijalankan secara tertutup kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pelajar itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Seth, Yong Peng, antara jam 2.30 dan 4.00 petang, 3 Oktober lalu.