JOHOR BAHRU: Seorang pengusaha kupang mengalami kerugian kira-kira RM350,000 selepas lebih 900 bongkah boya jenis foam yang digunakan untuk membina rakit ternakan kupang musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Pengusaha berkenaan, Faizul Jumat, 48, berkata, dia menyedari kejadian kira-kira pukul 10 malam ketika keluar makan sebelum melihat api marak dan merebak pantas ke longgokan boya miliknya.

“Saya sedang makan di warung sebelum menyedari api sudah marak. Saya tidak sangka kebakaran merebak begitu cepat sehingga memusnahkan semua boya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemilik warung, Md. Zakaria Mahmad Yunos, 48, berkata, dia turut melihat api menjulang tinggi sebelum asap hitam tebal menyelubungi ruang udara sekitar Pasir Gudang.