SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan tangkapan terhadap dua individu termasuk figura awam yang dipercayai kerana berkhalwat di sekitar Petaling pada pukul 6 petang, semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dalam kenyataannya berkata, kedua-dua individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara,” katanya di sini, hari ini.








