PETALING JAYA – Kerajaan memperuntukkan RM6.92 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh rantaian bekalan makanan, daripada pengeluaran di sawah dan laut hingga ke pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tumpuan kerajaan adalah memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada pesawah, nelayan, usahawan tani dan pengguna.

“Petani dan nelayan perlu terus dibela, usahawan diberi ruang berkembang, dan keluarga mendapat akses kepada makanan yang mencukupi serta berpatutan,” katanya di media sosial.

Tambahnya lagi, daripada jumlah itu, RM4.85 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan, manakala RM2.07 bilion untuk pembangunan.