KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia terlebih membayar pampasan antara RM400,000 hingga RM500,000 kepada Semantan Estate Sdn Bhd (1952) bagi pengambilan tanah seluas 263.272 ekar (kira-kira 106,542 hektar) yang dikenali sebagai Enklaf Duta pada 1956.
Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kementerian Kewangan, Tan Tat Khuan, 40, berkata beliau telah membuat penilaian dan mengesyorkan jumlah pampasan RM875,000 bagi nilai tanah di Mukim Batu itu berbanding RM1.39 juta yang dibayar oleh kerajaan.
"Jika RM1.39 juta itu ditolak dengan apa yang telah dinilai (RM875,000), menunjukkan kerajaan terlebih bayar RM400,000 hingga RM500,000 dan sekiranya mahkamah bersetuju dengan pengiraan saya, iaitu RM875,000, maka tiada tambahan pampasan perlu dibayar kepada plaintif," katanya.






