JAKARTA: Seramai 11 anak kapal masih hilang, manakala 13 lagi berjaya diselamatkan selepas kapal kargo terbakar di perairan Bengkulu, pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, malam tadi.

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), memaklumkan kebakaran berlaku di bilik enjin kapal KM Prima Sentosa kira-kira jam 7 malam waktu tempatan ketika kapal itu dalam pelayaran dari Muara Jawa, Kalimantan Timur ke Nagan Raya, Aceh dengan membawa 24 orang.

"Seramai 13 anak kapal berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan sebelum diselamatkan kapal Seroja 20 yang melalui kawasan itu, manakala nasib 11 lagi masih belum diketahui," menurut Basarnas dalam kenyataan.

Agensi itu memaklumkan pihaknya menerima laporan kecemasan daripada ejen kapal pada jam 8 malam sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.